Setiap daripada kita mempunyai memori tersendiri.
Semestinya himpunan memori indah itu merias liku-liku kehidupan kita di sini.
Bagaimana pula dengan memori lama yang tidak berseri? Mampukah kita memadamnya daripada kotak fikiran yang semakin sarat?
Aku teringatkan seseorang semalam selepas melewati karya-karya yang dihasilkan di kala malam dahulu.
Dia telah tiada. Dia telah meninggalkan aku kira-kira 6-7 tahun. Rasa sebak menerjah hati ini apabila mengenang tragedi yang meragut nyawanya. Rasa sesal kerana tidak menghargai teman ini.Rasa sesal kerana tidak bertemunya seminggu sebelum peristiwa hitam itu berlaku.
Sungguh tidak disangka, Tuhan menjemputnya terlebih dahulu.
Aku benar-benar merindui saat-saat kita berbual sambil dibuai bayu laut. Walau sang bayu tidak berlembut dengan kami bertiga, ia tidak mengugat bicara kami pada lewat petang tersebut.
Selepas beberapa tahun menuntut di bumi asing, kembalilah teman muda aku ke tanah air.
Namun tidak lama kemudian, Tuhan juga telah menjemputnya ke sisi-Nya.
Aku kelu, jatuh terduduk dengan manik-manik air yang berguguran.
Mengapa? Itu saja yang aku mampu ujarkan. Aku kesal kerana tidak menghadiri majlis memorialnya. Garisan sempadan dan masa menjadi pemisah.
Aku kesal.
Seorang teman pernah berkata bahawa mereka yang dijemput-Nya itu telah memahami erti kesetiaan.
Mereka yang masih berada di alam fana ini masih perlu mempelajarinya. Aku tidak mengerti.
Kekadang, aku lebih mendoakan pemergianku daripada terus bergelumang di sini.
Aku menikmati saat-saat kelana, saat-saat di studio, saat-saat memegang tinta, saat-saat bersama dengan orang-orang tersayang dalam perjalanan hidup ini.
Namun, rasanya aku lebih cenderung dengan pemergian diri ini. Aku mendoakan pemergian yang tidak menderita, pemergian yang aman dan bukan disakiti. Pemergian yang membebaskan daripada kekalutan yang membalut jiwa, minda dan jasad ini. Pembebasan yang membawa aku kepada-Nya untuk selamanya.
Tanpa penderitaan. Tanpa tangisan. Hanya kedamaian. Hanya kesucian. DIA dan aku, hambanya. Untuk selamanya.
No comments:
Post a Comment