Aku dicengkam pelbagai perasaan sejak menjejakkan kaki di kota Krung Thep (juga dikenali sebagai "city of angels" selepas diterjemah) pada larut malam. Tidak pernah kubayangkan keceriaan aku mampu dicipta di sini. Ia akan mengambil masa yang agak panjang untuk menyesuaikan diri di sini kukira, namun, hati aku terbuka, semakin terbuka untuk negara Gajah Putih ini yang telah menambat hati aku yang mendukung ribuan kekusutan.
Hari demi hari, aku belajar mengenali diri sendiri, muka baru, budaya, bahasa, cinta, kepercayaan, kegembiraan dan keunikan.
Aku tidak pasti apakah kota ini telah menjawab persoalan yang telah lama bersarang. Namun, aku seolah-olah diberi petunjuk sewaktu aku melangkah lebih jauh.
#1
Aku bukan seorang pecinta haiwan, dulu, sekarang mahupun masa hadapan. Bagaimanapun, hari ini, telatah beberapa ekor orang utan, singa laut dan dolfin menghiburkan hatiku. Setibanya di pekan koboi, aku memikirkan alangkah enaknya jika hidup kita serba ringkas dengan beberapa deretan kedai yang memadai dengan perigi air dan landskap yang mudah. Namun, kita masih memerlukan sepatah senapang kerana dunia ini tidak mengenal keamanan. Di sini, aku boleh memiliki senapang untuk tujuan keselamatan dan perlindungan. Aku belum mahir mengendalikannya namun masa akan menentukannya.
#2
Aku menuju ke Erawan yang wujud di tengah-tengah kesibukan kosmopolitan ini dan melewati tempat suci para penganut Buddha yang sedang bersembahyang. Kelihatan sekumpulan penari kembara yang menari mengikut paluan alat-alat genderang dengan nyanyian dikir.
Para wanita sibuk menjual kalungan bunga-bungaan untuk upacara sembahyang kepada para pelancong.
Mata aku bertumpu pada sepasang kekasih umpama bagai pinang dibelah dua yang baru selesai bersembahyang.
Entah kenapa selepas itu, aku mendengar bisikan hati yang memberi satu ketetapan dan petunjuk yang mungkin menyelamatkan diriku.
Bahawa aku tidak perlu berkorban. Kerana aku punya pilihan.
Seperti hati ini, seleraku juga semakin terbuka. Meskipun makanan di sini masih asing dan pelik rasanya bagiku, aku boleh menjamu selera dengan baik dan makan lebih daripada yang biasanya. Aku tidak berasa sakit seperti sebelumnya. Elok nampaknya. Bau-bauan Thai semakin menebal, menuruti semua laluan kecuali apabila sang hujan melepaskan bilah-bilahnya. Kotak fikiranku masih perlu berputar ligat untuk ilham karya seterusnya. Namun, buat pertama kalinya hati aku terpaut dan tidak dapat kuuraikan penjelasannya. Terpaut barangkali, sekali ganda daripada detik-detik di NSW yang sebenarnya tidak kurang indah dengan kelembutan dan kesunyian yang hidup. Bulan malam menyaksikan aku lena terlelap sementara menanti mentari pagi menghampar kanvas langit.
No comments:
Post a Comment